Sunday, 4 August 2013

SYAWAL DIRAI RAMADHAN DITANGISI

 بسم الله الرحمن الرحيم        
Alhamdulillah...rasa syukur dizahirkan kepada Al-Khalid kerana masih menetapkan dua nikmat keatas diri ini. Nikmat yang paling besar iaitu nikmat islam dan nikmat iman. Islam adalah agama yang diredhai Allah dan agama yang syumul.
Firman Allah dalam surah Al-Maidah ; 3 : 
"Pada hari ini, aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu, dan aku telah redha Islam itu menjadi agamamu".

 Alhamdulillah, kita masih lagi diberi peluang untuk mengabdikan diri dalam horizon ibadah yang paling mulia iaitu Ramdhan Kareem. Ramadhan hanya tinggal 3 hari lagi, adakah kita sibuk mengejar malam lailatul qadar atau sibuk berlari ke pasar-pasar untuk hari raya nanti? Adakah kita bersedih Ramadhan akan pergi atau bergembira Syawal datang lagi? Sama-sama kita pejam mata dan fikir sejenak. Sesungguhnya para ulama' akan menangis disepanjang 10 malam terakhir kerana ini menunjukkan bahawa Bulan yang diberkati ini akan pergi. Adakah kita masih lagi sempat bernafas di Ramadhan tahun akan datang? Sama-sama kita muhasabah diri. Semoga kita dapat mengejar malam Lailatul Qadar yang mana malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Amin

Tiba saja Bulan Syawal, Hari Raya yang bermain di minda. Peraga baju baru, hidang beraneka menu, bermaafan dengan ayah ibu dan berbagai lagi yang penting semua serba baru. Rasulullah sendiri apabila pagi syawal, baginda akan memakai baju baru dan bersih. Itu merupakan sunnah. Alhamdulillah sampai sekarang kita dapat kekalkan sunnah itu. Selain itu, banyak lagi amalan-amalan sunnah yang diamalkan ketika pagi syawal. Nak tahu? jom baca.

AMALAN-AMALAN SUNAT DI AIDILFITRI

-Bertakbir
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ; 185 :
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur".

-Lafaz ucapan Selamat pada hari raya aidilfitri.
Sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya :
"Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain 'taqabbalullah minna waminka' (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)".

-Mandi di Pagi Raya.

-Makan sebelum solat aidilfitri.

-Memakai pakaian yang indah.

-Mengerjakan solat sunat aidilfitri.

-Bergembira di hari raya.

Agak-agak kita dapat buat tak amalan sunat itu? InsyaAllah boleh. Kita cuba perlahan-lahan. Walau tak dapat buat semua, buat apa yang terdaya tapi INGAT!!!. Puasa Enam jangan dibiarkan berlalu.
Sabda Rasulullah :
"Barangsiapa yang telah berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari dari Syawal (berpuasa), seolah-olah dia telah berpuasa setahun". (HR Muslim).

Subhanallah, betapa beruntungnya kita. Semoga kita semua dapat meneruskan berpuasa 6 di bulan Syawal. Ini Promosi hebat dari Allah, segalanya bergantung kepada kita. Nak seribu daya tak nak seribu dalih.

Untuk mengakhiri coretan ringkas edisi Hari Raya, Saya MUHAMMAD AFNAN ASYRAF BIN SHAMSUDIN ingin memohon kemaafan andai terdapat kekurangan dan kekasaran dalam coretan-coretan di laman ini. Untuk semua pembaca blog ini, teruskan membaca dan memberi komen serta saranan yang membina agar dapat beraksi dengan lebih baik untuk akan datang. Untuk semua yang dikenali dan mengenali diri ini, segunung kemaafan saya hulurkan. Semoga kita semua dapat menyambut hari kemenangan disisi insan yang tersayang.

-INGATAN TULUS IKHLAS DARI AFNAN SEKELUARGA.


-Syawal dirai Ukhuwwah terjalin pasti-